Jumat, 17 April 2020

Istana Kampung Glam

Wawan Setiawan Tirta

Selamat malam KC,

Pengalaman yang ingin saya kongsi ini berlaku semasa saya kecil-kecil dulu dan tinggal di Istana Kampung Glam sebelum ia dijadikan Taman Warisan Melayu. Mungkin KC tak tahu, 90% penghuni-penghuni di Istana ni dulu, keturunan Sultan Hussein, termasuklah saya. Jadi, yang tinggal di sana dulu, semua ada kena mengena antara satu sama lain, datuk, nenek, makcik, pakcik, sepupu dan selanjutnya. Bangunan utama dulu telah dibahagi-bahagikan pada bilik-bilik untuk kediaman keluarga masing-masing.

Bilik yang dijadikan rumah saya ni, besar dia seperti flat jenis L, di mana sebahagian dari ruangnya dinaikkan papan untuk dijadikan bilik tidur. Mak dengan bapak akan tidur di bilik sementara kami adik-beradik akan tidur di luar, atas tilam. Kalau KC nak tahu, “rumah” saya ni dulu adalah tempat orang mandikan jenazah.

Masa saya kecil dulu KC, saya ni jenis senang nampak hantu, lebih-lebih lagi bila hujan di waktu malam semasa langit tengah merah-kemerahan disertakan guruh dan petir yang sabung-menyabung. Setiap kali, petir menyambar di langit, saya akan dapat melihat “benda-benda” ni di mana-mana jua ceruk atau sudut mereka berada.

Pada satu malam tu KC, saya telah tersedar dari tidur dan mendapati diri saya berada betul-betul di atas anak tangga, kalau saya tergolek lagi sikit je mesti jatuh ke tanah sebab masa tu pintu rumah saya terbuka (saya pun tak tahu siapa yang buka pintu, tapi di sudut hati, saya berkata “pakcik saya baru balik agaknya”).

Saya pun naik semula untuk kembali ke atas tilam. Golek punya golek, saya terlanggar sesuatu di tepi kipas (standing fan). Saya ingatkan kucing saya, jadi saya pun bangun untuk mengambil kucing, nak ajak tidur sama.

Alangkah terperanjatnya saya KC, benda yang saya langgar tu, rupa-rupanya bukanlah kucing tetapi seorang perempuan, macam nenek pun ada, duduk berpeluk kaki di tepi kipas.

Muka dia KC, ya Allah!!! Punyalah hodoh bagai ditebuk-tebuk, ruang matanya kosong, tak nampak mata, rambut kusut masai, baju kotor dan compang-camping.

Saya pun apa lagi, terus terbaring semula, pejamkan mata ketakutan, dan baca segala apa yang saya tahu di dalam hati. Dalam masa tu KC, saya rasa terkedu, tak dapat bergerak, dada saya rasa berat seperti diduduk orang. Saya cuba jerit untuk panggil arwah nenek saya, tapi suara tak boleh keluar.

Dah tak dapat berbuat apa-apa, saya pun teruskan membaca dalam hati, minta tolong dengan Tuhan, dan cuba sedaya-upaya untuk memanggil arwah nenek saya. Hanya selepas kedengaran azan Subuh, barulah saya rasa seperti dilepaskan dan dengan serta-merta dapat memanggil arwah nenek saya.

Bila saya ceritakan pada mak dan arwah nenek saya, saya diberitahu bukan saya seorang sahaja yang nampak “perempuan atau nenek” tu. Rupa-rupanya, sepupu saya pun pernah ternampak juga, duduk di sudut yang sama tetapi selalunya dari belakang kerana “dia” duduk menghadap tembok. Arwah nenek saya memberitahu, “dia” memang selalu ada di situ dan disuruh diamkan saja.

Agak-agak KC, perempuan atau nenek tu masih ada tak di situ?

Sekian.

Dari,

Budak Kota